Ikutle Kalo Agak-agak Ngkome Ghajin Membacenye
Cakap Le Ape Ngkome Nak Cakap Asey Jangan Mencarut Udah Le
Saturday, May 16, 2009
salam aleik..
Alhamdulillah.. dengan izin Allah saya telah berjaya menyempurnakan taklifan yang telah diberikan kepada saya yang hina dina dan ilmu tak seberapa ini.. walaupun dalam musim exam.. [besok pekse ni wehh.. aku wat relek jer nih apekehe haa.. setenang buaya di darat je ni.. haha..] ini tidak menghalang saya untuk terus berkhidmat kepada syeikh saya.. membantu sekadar yang saya mampu.. moga2 khidmat saya ini mampu menjadi amal soleh yang dapat saya bertawasul dengannya kelak.. amin ya rabbal alamin..
saya ditaklifkan untuk menterjemahkan sebuah maqolah yang dikarang oleh Syeikhuna Syeikh Yusuf Muhyiddin Al-Bakhur Al-Hasani.. fadhilah al-syeikh mengadakan kelas pengajian dirumah beliau di Hayyu Asyir setiap hari selepas asar kecuali hari ahad dan khamis.. hari ahad beliau mengadakan majlis selawat dan pengajian di rumah akhawat Indonesia di Bawabah Taniah.. begitu pula hari khamis majlis selawat dan pengajian bertempat di rumah ikhwah Indonesia di Bawabah Taniah juga.. saya juga tidak terlepas mengikuti pengajian bersama syeikh dirumah beliau untuk mengambil istifadah dari keilmuan beliau yang sangat mendalam dalam bidang tasawwuf.. [tapi hakikatnye aku terlepas banyak hari gak tak pegi.. hehe.. biasenye hari yang aku takde kelas kat gami' Azhar aku pegi le umah syeikh.. tu pun kalo aku tak tetido meleleh ayor lior atas bantal busuk le.. kekeke.. campor tolak maleh bahagi penat kali dengan tengok muvi ganda kuasa dua dengan takde mood.. rasa ade la sejumlah bulu kamben je aku gi umah syeikh.. hahaha..]
terima kasih kepada Taha sahabat saya yang membantu mensyarahkan maqolah ini kepada saya agar saya lebih memahami kehendak maqolah ini supaya tidak salah terjemahan dari segi penggunaan kalimah samada digunakan secara hakiki mahupun majazi.. tidak lupa juga kepada Ust Sultan yang menjadi prufreder yang membantu mengechek secara menyeluruh dan membetulkan beberapa ayat yang saya tuliskan dengan sesukahati jantung dan pankreas saya namun ternyata ianya jauh menyimpang dari landasan keretapi yang tiada kaitan dengan cerita ini.. [kejadah landasan ketapi ni?] jauh menyimpang dari landasan kebenaran yang sebenar2 kisah benar.. apepun.. jazakumallah khairan kathira atas bantuan yang diberikan..
jadi dengan ini saya uploadkan terjemahan maqolah itu disini untuk dikongsi bersama para pembaca.. moga2 dapat mengambil istifadah daripadanya.. [apsal aku terasa macam ayat aku arini skema jek haa.. hehe..]
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah yang menyempurnakan segala kebaikan dengan kelebihan-Nya. Selawat dan salam kepada Baginda yang diutuskan oleh Allah sebagai satu rahmat kepada umat manusia Muhammad bin Abdullah penghulu kepada sekalian anak Adam hinggalah hari Akhirat tempat kembalinya kita semua.
Saudara dan saudari para hadirin yang dihormati dalam pertemuan yang penuh barakah ini:
Tajuk: Manhaj I’tilaf (Method Persepakatan) dan Peranannya dalam Era Globalisasi
Sesungguhnya perbahasan tentang i’tilaf (persepakatan) ini tiadalah ikhtilaf (percanggahan) padanya sesuatu yang mengandungi unsur penipuan dan ketidakbenaran.
Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah ummah (agama) kalian; ummah (agama) yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertaqwalah kepadaKu.
1. Berdasarkan mafhum dari ayat Quran ini kita dapati bahawa agama (ummah) ini satu dan bukannya banyak (umam – dengan sighah jamak). Persepakatan datang sebagai satu natijah kepada bersatunya rakyat dan qabilah-qabilah serta kelompok-kelompok dalam fahaman yang satu. Pada asalnya mereka bercanggah fahaman dan akhirnya bersatu fahaman mereka ataupun menjadi bersepakat. Adapun kita berpegang dengan Nass Quran yang mengatakan agama Tauhid ini satu. Percanggahan merupakan sesuatu yang baru yang datang kemudian daripada itu. Dan ianya waham (tidak jelas) dan bukanlah perkara asal; ini kerana agama Tauhid yang satu sememangnya mempunyai fahaman yang satu. Dan bukanlah ianya bermaksud agama yang banyak (umam) yang berasingan ataupun puak-puak tertentu ataupun rakyat yang pelbagai yang bersepakat dan bersatu untuk menjadi ummah wahidah seperti yang disangkakan.
Ini adalah dilihat dari sudut prinsip:
Satu persoalan dari sudut realiti dan syar’ie: adakah kita tergolong dalam ummah (agama Tauhid yang satu) ataupun umam?
Jika kita berada dalam umam seperti masyarakat Eropah, ataupun masyarakat Amerika samada Amerika Latin atau Amerika Utara, mereka akan cuba untuk membentuk penyatuan antara mereka. Maka ini secara hakikatnya adalah disebabkan mereka pada asalnya bukanlah ummah yang satu. Dari sini mereka cuba mencari jalan untuk menyatukan dari sudut geografi dan sudut ekonomi serta penyatuan dari sudut bahasa.
Akan tetapi dunia Islam berbeza daripada itu. Ianya adalah dunia yang global sejak dari 15 kurun yang lalu sejak daripada zaman Nass Quran ini diturunkan:
2. Kemudian datangnya penyatuan sebagai satu natijah dan muqaddimah wujudnya ikhtilaf (percanggahan) daripada penyatuan tersebut. Maka atas apakah kita bercanggah?
Jika kita lihat dari satu sudut pandangan, sejarah Islam telah menceritakan dengan panjang lebar tentang segala yang berkaitan dengannya samada negatif atau positif; kita akan dapati satu hakikat kebenaran bahawa kita tidak sesekali bercanggah dalam urusan agama atau bercanggah tentang wahyu yang diturunkan dari langit mahupun bercanggah mengenai risalah yang disampaikan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sebaliknya percanggahan yang timbul hanyalah percanggahan dalam urusan dunia semata-mata samada zaman dahulu mahupun zaman kita sekarang.
Dari sini kita dapati dari seorang Sahabat, Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufyan Radhiallahu Anhu berkata: “Kami tidak becanggah dengan Ali Radhiallahu Anhu atas urusan agama. Sebaliknya kami bercanggah dengannya semata atas urusan dunia.”
Kita dapat lihat bahawa angin taufan globalisasi yang muncul secara mendadak diseluruh dunia umumnya dan dalam dunia Islam khususnya datang dalam bentuk sistem materialisasi yang melampaui batasan. Sedikit demi sedikit perkara demi perkara didatangkan dalam bentuk ini sehinggakan dunia Islam kita menjadi semakin ringan dan mudah dalam memakan dunia globalisasi yang penuh materialistik ini. Semua ini terjadi selepas tersingkir dan terpinggirnya hukum dan perintah Allah dan Rasul-Nya daripada kehidupan orang-orang Islam samada dari pihak rakyat seluruhnya mahupun dari pihak pemerintah.
Dari sini kita dapati lagi bahawa madrasah ihsan dan tarbiah dan suluk samada zaman dahulu mahupun kini tujuannya hanyalah satu. Tujuan yang agung dan besar iaitu menjauhkan dan membuang perhambaan diri pada dunia daripada hati-hati muslimin dan menjadikan dunia ini hanya sekadar berada di tangan. Bukannya menjadikan dunia ini sebagai satu tujuan kehidupan. Ini bertepatan dan dibenarkan oleh kata-kata Saidina Umar Radhiallahu Anhu: “Bila kamu menjadikan manusia sebagai hamba sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan mereka itu bebas merdeka.”
Sesungguhnya perhambaan disini bukanlah perhambaan dari sudut jasmani. Bahkan ianya adalah perhambaan yang lebih bahaya dan lebih teruk dari itu. Iaitulah menghambakan diri kepada hawa nafsu khususnya apabila telah berleluasanya penguasaan syahwat terhadap jiwa dengan satu kuasa yang tinggi dan lebih kuat dan meratah dengan lahapnya terhadap material duniawi. Bagi golongan ini, mereka menghalang akal fikiran mereka dari membawa konsep insan sebenar dan juga risalah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada mereka. Iaitulah tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini yang bertepatan dengan manhaj Allah Subhanahu Wa Taala.
Disini kita dengar sabda Nabi yang jelas kedengaran ditelinga-telinga kita:
Setiap sesuatu selain Allah, itu adalah dunia. Segala kebendaan itu dunia. Cinta itu juga dunia. Pangkat dan kemasyhuran itu dunia. Harta itu juga dunia. Jasad juga dunia. Maka pabila semua ini menguasai jiwa manusia dengan kuat, maka apakah yang tinggal berbaki lagi daripada kemanusiaannya..
Sukalah kiranya kami sebutkan disini tentang manhaj tasawwuf yang praktikal dan syar’ie yang bertepatan dengan prinsip syariah tanpa ada sebarang penyelewengan dan unsur melampaui batasan supaya kita dapat meletakkan semuanya atas dasar kebenaran yang jelas terpapar dihadapan.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam:
Wahai hadirin yang disayangi, kami sebutkan dengan jelas disini bahawasanya kebanyakan daripada kita kaum muslimin memahami al-hadith al-syarif ini dengan satu fahaman yang salah. Iaitulah bilamana mentafsirkan ayat pertama daripada hadith ini, ramai yang mentafsirkannya “kamu perlulah berkerja, berusaha dan bersungguh-sungguh seolah-olah kamu tidak akan mati langsung selama-lamanya” maka ini adalah satu kesilapan yang besar. Sebaliknya mafhum sebenarnya yang sahih yang difahami daripada kandungan hadith ini adalah “kamu perlulah berkerja untuk mengimarahkan muka bumi ini dengan baik serta dengan ihsan agar kekal sesuatu daripada jasamu diatas muka bumi ini selagimana ada bumi ini.” Bukannya kamu berkerja dan bersungguh mengumpulkan harta bergudang-gudang seolah-olah kamu akan kekal di muka bumi ini. Bukan ini mafhum yang dikehendaki seperti yang difahami oleh kita pada hari ini.
Ini dikuatkan dengan ayat kedua daripada hadith tadi : (( Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati pada keesokan harinya ))
Dari sini kita dapati bahawa Salafuna Al-Soleh telah memahami hadith ini dengan sebenar-benar fahaman bahawa “jika kamu tidak mengingati akhirat dalam setiap nafas dari nafas-nafas yang keluar dari tubuhmu, maka sesekali kamu tidak membawa agama kepada dunia samada ke timur mahupun ke barat muka bumi ini. Maka mereka telah bersungguh-sungguh menyampaikan kebaikan dalam agama kepada penduduk dunia dan muka bumi ini seluruhnya samada timur atau barat.”
Kita dengar pula kata-kata seorang tokoh besar yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Toriq bin Ziyad dan kuda beliau yang mahu diselamkan di lautan atlantik. Beliau berkata: “demi Allah kalau aku tahu dibelakang lautan ini ada daratan yang terdapatnya manusia disana nescaya akanku selam lautan ini bersama kudaku ini untuk menyampaikan seruan Allah.”
Maka method ihsan ataupun tasawwuf adalah satu cinta. Pabila wujudnya cinta maka akan wujudlah penyatuan dan persepakatan. Malah akan wujud pula kesan yang lebih mendalam iaitu memberi kesan (mendahulukan) terhadap orang lain lebih lagi daripada diri sendiri dan wujud juga sifat tidak takabbur serta kemuncak dan ketinggian daripada kesenangan dunia.
Oleh itu, kita dapati disini bahawa manhaj tasawwuf, yang menjadi pusat dan yang yang menyatukannya adalah pengEsaan kepada Allah sahaja. Pabila wujudnya pengEsaan Allah ini maka akan cair dan mudahlah semuanya untuk mengikuti perintah dan larangan Tuhan. Apabila ini telah wujud, masyarakat seluruhnya akan menjadi seperti jasad yang satu. Pabila salah satu anggota merasa sakit maka seluruh badan juga akan merasa sakitnya dan seluruh badan jugalah yang tidak dapat tidur malam disebabkan kesakitan anggota itu.
Penyatuan dan persepakatan inilah yang menjadikan yang muda menghormati yang tua, dan yang tua berbelas kasihan kepada yang muda. Penyatuan dan penghormatan inilah yang telah disebutkan oleh Saidina Umar Radhiallahu Anhu mengenainya: “jika tergelincir seekor kambing di Yaman nescaya Umar akan ditanya mengenainya.”
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Seterusnya kami akan berterus terang dengan segala kebenaran dan amanah serta satu soalan yang benar: bilakah orang-orang Islam akan kalah dan menjadi terbatasnya ruang lingkup dakwah dan pengajaran di dunia?
Jawapannya: iaitulah pada hari mereka mengambil dunia daripada Tuhan mereka dan mereka menyibukkan diri dengan perkara-perkara dunia sepertimana orang-orang lain menyesakkan diri mereka dan menyibukkannya dengan dunia. Dan saya tegaskan pada kalian lebih dari itu. Saya tidak berani mendustakan sabda Rasul untuk membenarkan ahli falsafah (failusuf) dari satu sudut atau ekonomi dan psikologi dari sudut yang lain.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam:
Benarlah sabdamu wahai Rasulullah. Sesungguhnya pandangan perlulah dengan mata hati bukan mata kasar semata. Orang-orang Islam telah tenggelam dalam perhambaan kepada dunia pada hari ini lebih banyak dan lebih dahsyat daripada musuh-musuh mereka. Dengan ini akan saya berikan contohnya dan saya menginginkan jawapan dari kalian.
1. apakah yang kamu tafsirkan pabila salah seorang dari jutawan Muslimin pada hari ini menghantar keretanya dari salah sebuah Negara Islam ke Negara Eropah sekadar hanya untuk menukar minyak? Dalam keadaan dia mengetahui kalau pekerjanya yang mahu menukarkan minyak keretanya dalam Negara dia tidak akan memberikan wang yang baginya amat sukar untuk dia dapati ini. Apakah makna semua ini melainkan dia telah tenggelam dalam menghambakan diri kepada dunia dan hawa nafsu. Ataupun apakah sebenarnya?
2. apakah maknanya jika salah seorang daripada jutawan muslimin membelanjakan bermilion dollar hanya untuk membeli jenama sebuah kumpulan bola sepak inggeris? Sedangkan bermilion umat Islam yang lain sedang mati kelaparan dan kebuluran? Sedangkan pelajar-pelajar dan penuntut ilmu agama tidak berkemampuan membeli kitab-kitab untuk dipelajari mereka? Apakah makna semua ini? Jawapannya ada pada kalian.
Tidakkah ini contoh yang menunjukkan kepada kita betapa umat Islam sudah tenggelam jiwa mereka dalam urusan-urusan dunia dan kebendaan semata-mata.
Dari sini tokoh-tokoh sufi telah mengambil jalan untuk menghadapi taufan kecelakaan ini dengan menggunakan tarbiah rabbaniah.
Pertama: niat yang betul dan dalam bermuamalah dengan Allah
Kedua: muamalah yang benar sesama makhluk
Ketiga: bahawasanya dunia hanya tempat persinggahan bukan tempat menetap
Keempat: berlawanan dengan nafsu, dunia dan makhluk
Kelima: bahawasanya mati itu lebih dekat kepada mereka daripada tali sandal
Keenam: zuhud dengan dunia, bukan bermakna meninggalkannya sebaliknya tidak menjadikan dunia itu matlamat
Ketujuh: redha dan berlapang dada hingga kebahagiaan mereka terletak pada apa yang diredhai oleh Allah, Tuhan mereka
Kelapan: tawaduk hingga jiwa mereka tidak menjadi hijab atau penghalang antara mereka dan Tuhan mereka Subhanahu Wa Taala
Kesembilan: mengutamakan orang lain sehingga dapat melenyapkan unsur-unsur egoisme dan hawa nafsu serta kepentingan-kepentingan peribadi
Kesepuluh: tawakal sehingga mendapat bantuan daripada Allah sahaja
Wahai saudaraku yang dihormati sekalian,
Sesungguhnya pemahaman tentang penyatuan ini datang dari sudut manhaj yang satu (Allah). Dari sini kita sebutkan pula perkara-perkara ini yang mesti kita rawat dan pulihkannya:
1. perpecahan kelompok telah memberi kesan dalam hidup kita sebagai umat yang satu ini dengan kesan yang negatif
2. kita perlulah mengajak manusia kembali kepada Allah, bukan kepada sekian-sekian jemaah atau kepada sekian-sekian syeikh atau guru, apalah yang ada pada jemaah dan syeikh kecuali untuk menunjukkan kepada Allah, mereka hanya sebagai jalan pertengahan dan bukannya matlamat
3. menolak fahaman taasub kepada tariqat itu sendiri dan juga madrasah itu sendiri bahkan membuka minda dan cinta kepada semua membawa jalan syariat sebenar
4. membuka jalan kepada para syeikh dan pertemuan-pertemuan serta persidangan serta perbincangan dengan tujuan tarbiah
5. tidak taasub untuk mengembil berdasarkan pada nama dan jawatan seseorang bahkan perlu mengambil pada yang haq dan kebenaran untuk mencapai matlamat sebenar
6. tidak berbangga-bangga dengan karamah dan keluarbiasaan (khawariqul adah) yang dimiliki oleh para syeikh sedangkan kita sangat menyimpang jauh dari akhlak dan kesungguhan mereka
7. titik pertemuan kita atas Kitabullah dan Sunnah Nabi serta manhaj syariah iaitulah manhaj praktikal dalam perjalanan kita menuju Allah
8. mempergiat pertemuan dengan para pemuda pemudi dengan halaqah-halaqah dialog serta muzakarah dengan tujuan memberi tunjuk ajar terhadap pemahaman sebenar tentang tasawuf dalam menghadapi tentangan kehidupan materialisma yang membuak-buak
9. membangunkan lajnah bagi mengikuti perkembangan aktiviti tariqat antara semua ahli tariqat dan juga menyediakan program praktikal secara tarbiah dan syar’ie bagi merealisasikan matlamat ini
10. menghidupkan metod tarbiah yang jelas yang bertepatan dengan ahli ilmu dikalangan ahli-ahli tariqat untuk menyatukan tujuan. Bahkan hakikatnya tariqat itu adalah satu meskipun berbeza cara dan metod
11. langkah-langkah yang telahpun saya sebutkan ini saya serahkan semua pada kalian untuk melaksanakannya
Dan pengakhiran doa kita adalah Segala Puji Bagi Allah.
tamatlah terjemahan ini.. doakan saya ye dapat jawap pekse dengan tenang.. time kasih sume kawan2.. :)
Muhammad Fahmi bin Mohamed Amin
Bilik Nik Mohamed Hasif
Laptop pun die punye
El-Sharqiya Zagazig City
[aku balik kampung beb.. kalo tak balik guane nak amek pekse kan.. hihi..]
Subhanallah. Menarik sekali!